Saturday, December 24, 2016

KEHIDUPAN SEBAGAI GURU PELATIH IPG


STRUKTUR KURSUS
Bagi struktur kursus pelajar IPG terbahagi kepada 3:
  • Subjek Teras.
  • Subjek Akademik.
  • Kokurikulum.
1. Subjek Teras:
Terdapat 7 subjek teras yang akan dipelajari semasa Program Persediaan Ijazah Sarjana Muda Perguruan. Keistimewaan subjek teras ialah tiada peperiksaan akan dijalankan bagi ketujuh-tujuh subjek teras tersebut. Keseluruhan markah hanya berdasarkan kepada kerja khusus.
7 subjek teras itu ialah Pendidikan Islam/Pend. Moral (TAR), English Language Proficiency (TBI), Bahasa Melayu Kontekstual (TBM), Kemahiran Generik (Kemahiran Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Kemahiran Berfikir, Kemahiran Belajar, dan Kompetensi Kecerdasan Emosi), Pengantar Pendidikan (TAP), Basic Mathematics (TMT), dan Pendidikan Jasmani Asas (TPJ).

2. Subjek Akademik:
Bagi subjek akademik, subjek-subjek yang akan diambil oleh pelajar IPG adalah berbeza mengikut opsyen/kursus yang akan diambil semasa di peringkat ijazah. Secara umumnya para pelajar akan mengambil 6 subjek akademik. Perbezaan yang ketara bagi subjek akademik ialah bagi setiap subjek akademik akan dijalankan peperiksaan. Selain itu, markah keseluruhan juga akan diambil kira daripada kerja khusus yang dilakukan.

3. Kokurikulum:
Bagi saya, salah satu perbezaan yang utama apabila kita bandingkan pelajar IPG dengan pelajar-pelajar di universiti lain ialah para pelajar IPG mempunyai waktu khusus yang diperuntukkan khas untuk aktiviti kokurikulum dan dimasukkan dalam jadual pembelajaran seharian.
Bagi pengetahuan anda, aktiviti kokurikulum yang dijalankan terbahagi kepada 2 iaitu Persatuan dan Permainan.

SUASANA PEMBELAJARAN

1. Ahli kelas:
Secara keseluruhan, ahli bagi setiap kelas adalah lebih kurang seramai 20 orang sahaja.

2. Panggilan:
Untuk pengetahuan anda semua, para pelajar IPG tidak dipanggil dengan gelaran ‘Pelajar’. Sebaliknya, para pelajar IPG dipanggil dengan panggilan ‘Guru’. Manakala para pensyarah yang mengajar di IPG dipanggil ‘Encik’, ‘Puan’, ‘Tuan Haji’, ‘Dr.’, ‘Ustaz’ atau ‘Ustazah’.

3. Kolej Kediaman:
Setiap pelajar IPG akan tinggal di kolej kediaman yang disediakan tertumanya para guru pelatih baharu. Memang tidak dinafikan terdapat juga para pelajar yang tidak tinggal di kolej kediaman terutamanya mereka yang berada di Semester 4 dan ke atas yang mengambil kursus Persediaan Ijazah Sarjana Muda Perguruan(PISMP). 
Setiap satu bilik akan ditempatkan seramai 2 orang sahaja dan kemungkinan terdapat bilik yang hanya untuk seorang guru pelatih sahaja.

4. Aktiviti Lain:
Seperti di universiti atau pusat pembelajaran yang lain, di IPG juga menyediakan persatuan/ kelab/ permainan untuk membolehkan para pelajar melibatkan diri. Dengan adanya aktiviti berpersatuan menunjukkan bahawa IPG bukan sahaja mementingkan prestasi akademik, bahkan prestasi kokurikulum juga.

KELEBIHAN MEMILIH GURU

1. Elaun:
Antara kelebihan utama apabila anda belajar di IPG ialah anda akan diberikan elaun pada setiap bulan sepanjang kurus PPISMP & PISMP (selama 5 1/2 tahun). Elaun yang diberi adalah mengikut tempat anda belajar.Contohnya apabila anda belajar di IPG Kampus Kota Bharu, anda akan diberikan elaun sebanyak RM430 sebulan(bagi pelajar kursus PPISMP). Bagi para pelajar yang tinggal di IPG yang terletak  di Kuala Lumpur pula, elaun yang diberikan akan lebih tinggi daripada RM 430 sebulan.
Para pelajar yang mengikuti kursus PISMP akan menerima elaun yang lebih tinggi daripada pelajar yang mengikuti kursus PPISMP. Contohnya, pelajar PISMP di IPG Kampus Kota Bharu akan menerima elaun sebanyak RM630 sebulan berbanding RM430 sebulan bagi para pelajar yang mengikuti kursus PPISMP.
Jadi, apabila tamat pengajian para pelajar IPG tidak perlu risau mengenai masalah pinjaman yang perlu dijelaskan. Sebaliknya, hanya perlu menumpukan perhatian kepada perkara-perkara lain.

2. Sesi Pembelajaran:
Sesi pembelajaran di IPG bermula pada 7.45 pagi sehingga 1.00 petang. Hal ini adalah kerana ingin mendidik para pelajar IPG membiasakan diri dengan waktu pekerjaan sebenar yang akan ditempuhi semasa sudah bergelar guru. Para pelajar tidak dibenarkan keluar daripada kawasan sekolah (di IPG tempat belajar dipanggil ‘Sekolah’) antara waktu 7.45 pagi-1.00 petang.
Walau bagaimanapun, terdapat juga para pelajar yang masih mempunyai sesi pembelajaran sehingga 6.00 petang (kebiasaannya hanya para pelajar yang mengambil kursus PPISMP).

3. Jaminan Pekerjaan:
Antara kelebihan utama apabila anda memilih untuk belajar di IPG ialah anda akan mempunyai jaminan pekerjaan di masa hadapan. Anda tidak perlu risau mengenai masalah pengangguran apabila sudah menamatkan pengajian. Hal ini adalah berbeza dengan graduan daripada universiti lain yang perlu berani untuk menceburi bidang pekerjaan yang berbeza dengan bidang pengajian yang diambil semasa di universiti disebabkan kemungkinan bidang pekerjaan yang sesuai dengan bidang pengajian diambil sudah pun penuh. 
Nota: Apapun, yang penting ialah anda mesti berusaha melakukan yang terbaik bagi memperolehi hasil yang terbaik. Jaminan pekerjaan adalah salah satu isu pada masa kini kerana para lepasan IPG perlu bersaing dengan lepasan kursus perguruan sama ada di IPTA atau IPTS.

4. Peperiksaan MUET:
Bermulanya pada tahun 2012, para pelajar yang belajar di IPG tidak perlu menduduki peperiksaan MUET. Para pelajar hanya perlu menduduki peperiksaan Bahasa Inggeris yang dijalankan di peringkat IPG.

5. Waktu Cuti:
Waktu cuti para pelajar IPG ialah sama dengan waktu cuti para pelajar yang belajar di sekolah menengah/rendah. Hal ini adalah berbeza dengan waktu cuti para pelajar yang belajar di universiti lain. Mereka kebanyakan hanya mempunyai cuti akhir semester atau cuti peristiwa-peristiwa tertentu.

5. Peluang untuk Melanjutkan Pelajaran:
Bagi pengetahuan anda semua, mana-mana guru layak untuk melanjutkn pelajaran di bawah satu program khas seperti Program Cuti Belajar Bergaji Penuh Tanpa Biasiswa (CBBP TB) dan Program Cuti Belajar Tanpa Gaji Tanpa Biasiswa (CBTG TB)

No comments:

Post a Comment