Wednesday, December 28, 2016

SEMALAM YANG KELAM

DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA PENYAYANG

Entri kali tentang sebuah cerpen yang aku tulis dalam satu pertandingan menulis cerpen "WeLoveWeCare" sempena Hari Perangi Dadah Peringkat Kebangsaan. WALAUPUN TAK MENANG *SAGUHATI PUN TAK DAPAT..HAHAHAH". CERPEN INI AKU TUJUKAN KEPADA SALAH SEORANG AHLI KELUARGA AKU. AKU DOAKN SUPAYA DIA TAK SENTUH BENDA HARAM JADAH TUU DAH..AMINN

Petang itu sangat sunyi. Ada pemuda yang menyendiri. Rapi rambutnya bersisir ke tepi. Manis senyumnya terukir di bibir. Terdengar bunyi desiran angin. Angin yang lembut membelai kulit. Tenang merasa, damai menyapa. Mentari semakin tenggelam di bawah garis ufuk di bahagian barat. Merah kejinggaan warnanya. Manusia mana yang mahu mencela panorama sebegitu rupa. Indah mata memandang. Menikmati ketenangan. “Haaa..”. Ku hela nafas panjang. Lapang saja diri terasa. Minda ku kosong. Tidak memikir apa-apa. Alpa melihat keindahan di depan mata. Cuma kadang kala hati berbisik kepada diri. “Kalaulah dulu aku tidak berdamping dengan si celaka itu, mungkin lebih lama aku menikmati keindahan ini”. Jari di lutut digenggam sekuat hati. Kepala ditunduk memandang tanah yang kering. Bibir diketip seperti menahan sesuatu. Mata yang kering tadi basah tanpa disedari. Teresak-esak diri melepaskan perasaan menyesal di dalam diri. Terasa diri ini jijik sekali. “Bagaimana mahu ku cuci diriku ini Ya Allah!”. “Khilaf ku terlalu besar dosanya Ya Allah”. “Wuduk ku, rukuk ku, sujud ku, adakah kau terima Ya Allah!”. “Aku menyesal Ya Allah. “Aku mohon taubat ku diterima di sisi-Mu Ya Allah”,Makin deras mengalir air di mata. Harapan ku meninggi hingga ke hujung langit agar diriku diterima seisi alam. Sisa hidup yang ada akan ku manfaatkan sehingga nyawa tercabut dari tubuh yang berdosa. Wahai manusia yang beruntung hidupnya, dengarlah coretan jiwa. Semalam Yang Kelam.

7 Februari 1993. Malam itu gelita. Terlalu lebat hujan jatuh ke bumi. Kilat tidak berhenti berdentum. Tiada petanda mahu berhenti. Langit seakan menyesali, memarahi dan memaki sesuatu di bumi yang dirahmati Illahi. Di hujung kampung, kelihatan sebuah rumah. Cuma sebuah rumah. Kelihatan dua lelaki di depan rumah. Seorang duduk di tangga. Berkepul-kepul asap keluar dari mulutnya. Seorang lagi ke hulur ke hilir tak tetap kedudukannya. Risau betul riak wajah di muka. Digosok-gosok tangannya. Digaru kepala yang tak gatal. “ Sabarlah Mat, semuanya akan selamat. Insya-Allah. Kita doakan yang terbaik”. Tenang sahaja lelaki itu bertutur kata. Telinganya seakan pekak tak mendengar apa-apa. Cuma hatinya berkata. “Ya Allah, hamba bertawakal kepada Mu Ya Allah”. “Wuerkk…wuerkk..”. Lelaki itu berhenti seketika. Tajam telinganya menangkap bunyi tadi. “ Salmah!”. Bergegas lelaki itu berlari ke dalam rumah. Di selak langsir biru di pintu. Lelaki itu terpaku. Air mata gembira mencurah keluar. Maka hari bersejarah buat si ayah dan si ibu. Anak yang dinanti singgah juga ke bumi. “ Ya Allah, terima kasih”.

Maka semakin hari semakin besarlah anak yang dirahmati. Besar tubuhnya. Kacak. Belasan tahun umurnya. Dibentuk dengan sangat sempurna. Ditatang melebihi minyak yang penuh. Tersangatlah sayang si ayah dan ibu akan anak itu. Semua kehendaknya dituruti tanpa dibantah walaupun sekali. “ Zarul, sayang betul mak bapak kau dengan kau ya”. “Hahaha, mestilah. Aku anak tunggal mereka”. Bangga penuh di dalam dada. “Baiklah, nak buat macam mana, cuma kau anak mereka. Zarul, kau nak ikut aku tak malam ni?”. Berkedut dahinya memikirkan sesuatu. “ Kita mahu ke mana?”. Melirik senyuman dibibir Ikram. “ Kau ikut saja, malam nanti aku ambil kau di rumah”. “Baik, aku tunggu kau di rumah”.

Siapa menyangka anak yang dulunya disayangi, dihormati dan ditatang menjadi busuk sekelip mata. Cuma satu malam sahaja, habis musnah hidup seorang manusia yang dikatakan membawa rahmat kepada keluarga. Cuma satu malam sahaja. Dikepalanya cuma ada opiat, stimulan, ganja, halusinogen, depresen dan sebagainya. Hidupnya hanya berkhayal dengan nikmat dunia yang sementara. Habis hilang ibu bapanya, keluarganya, sahabatnya, sekolahnya, gurunya dan semua yang berharga. Sekarang cuma ada dia dan si celaka itu sahaja. Kurus, berhingus dan menumpang tidur di tempat bertikus. Hanyutlah seorang manusia dalam dunia yang dihina dan dicela oleh alam yang fana. Tetapi apa si anak kisah tentang hinaan dan celaan?

Suatu ketika, sedang asyik anak itu melayan dunia gilanya, tiba-tiba terasa dirinya dihentak sesuatu. Tidak terasa sakit. Kedengaran bunyi bising di sekitarnya. Ah! lantaklah dengan dunia di luar sana. Walaupun diseret tubuh kurusnya tidak dia peduli semua itu. Berderai air mata si ibu melihat anak sebegitu rupa. Luluh hati ayah sambil mengheret tubuh anak yang disayangi sehingga mati. Walaupun sedih di dalam hati tetapi demi anak yang disayangi digagah jua membawa anak untuk dibentuk semula jiwanya. Maka bermulalah pembersihan semula si anak yang berdosa. Mulanya diri merasa sakit menahan perit namun lama-kelamaan perit itu hilang dengan sendiri. Hanya Allah menjadi peneman di jiwa. “Wahai anak yang dirahmati, jadikan semalam itu pengajaran untuk masa depan yang berguna”. Pesan ayah kepada anak. Melangkah keluar ke alam luar, kekok terasa. Hinaan dan celaan bertimpa-timpa ke muka. Apakan daya, semua itu balasan untuk orang yang berdosa. Namun hidup mesti diteruskan juga kerana masa depan itu tetap ada. Sehingga sekarang aku tetap melangkah mencari keredaan Ilahi dan kepercayaan masyarakat terhadap diri ini.


Mentari semakin hilang di ufuk. Membawa bersama kenangan hitam yang menjadi pengajaran buat seluruh duniawi. Moga terbitnya mentari di kemudian hari membawa sinar buat ku dan semalam yang kelam menjadi hempedu yang mengajar diriku erti kehidupan yang azali.

No comments:

Post a Comment